KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Thursday, January 17, 2008

Hari ASYURA'

Kita berada tahun hijrah 1429.Masa berlalu, hari demi hari dengan tidak kita sedar, setiap hari dan setiap malam berlalu menjauhkan kita dari hari lahir kita dan mendekatkan kita pada hari kematian kita, hari kita meninggalkan dunia yang fana ini.

Seorang ulama sufi yang terkenal bernama Hasan Basri menggambarkan hidup manusia seumpama sejumlah angka hari. Apabila luput satu hari, maka berkuranglah sebahagian dari diri manusia ini. Tiap muslim dan muslimat harus sentiasa mengenang nilai setiap hari dalam umurnya. Dia harus selalu mencari jalan bagi mendapat faedah daripadanya. Janganlah dia mencuaikan masa-masanya sehingga berlalu harinya dengan tidak mendapat faedah apa-apa, kerana hari yang berlalu itu, tidak akan kembali lagi.

Maksud sepotong hadith Qudsi:"Tiap hari fajar terbit, maka hari akan berkata: Wahai manusia, aku ini adalah makhluk baharu, aku menyaksikan setiap perbuatan yang kamu lakukan, maka ambillah kesempatan yang ada pada hari kamu ini untuk membuat kebaikan, kerana apabila aku berlalu, sesungguhnya aku tidak akan kembali lagi sehingga hari Qiamat.

Di dalam Al-Quran ada beberapa ayat yang menjelaskan tentang masa dan menyatakan bahawa hidup manusia itu selalu leka dan rugi. Allah bersumpah dengan masa dalam firmanNya:

Maksudnya: Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, mereka suka nasihat menasihati dengan penuh kebenaran dan penuh kesabaran.

Dari itu, haruslah kita berusaha untuk membuat kebajikan dan amal baik dan sentiasa membuat muhasabah terhadap umur kita masing-masing, kerana umur kita itu sebenarnya pendek. Jagalah ia, jangan sampai terbuat perkara-perkara yang tidak bermanfaat bagi hari akhirat.

Sebagai muslimin dan muslimat, kita sentiasa dipesan dan diperingatkan agar kita bertaqwa. Agar sentiasa berbuat taat dan tinggalkan maksiat. Harus mengenang nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita. Betapa banyaknya nikmat yang kita kecapi setiap saat dan detik, tidak mampu kita mengiranya. Ambillah kesempatan yang terbentang di hadapan kita. Cubalah mendapatkan manfaat dari hidup kita ini. Jagalah diri, jangan sampai terlalai dari mengerjakan kewajipan oleh pujukan nafsu dan syaitan.

Allah telah jadikan bahan bakar neraka Jahannam itu dari orang-orang yang lalai sebagaimana firmanNya yang menegaskan surah Al-Araf, ayat 179: Maksudnya: Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahannam, kebanyakan dari jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahamkan kebenaran agama, mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengan matanya, dan mempunyai telinga tetapi tidak mendengarkan dengan telinganya, orang-orang itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat, itulah orang-orang yang lalai. Buatlah perhitungan selalu. Apakah kita telah meraih faedah atau telah menanggung rugi?

Sabtu, adalah 10 Muharram. Ia juga terkenal dengan nama Hari Asyura'. Mengikut riwayat bahawa, hari Asyura' ini adalah hari kejayaan dan kemenangan para rasul dan beberapa nabi yang terdahulu atas musuh-musuh mereka. Kita seharusnya mengambil tauladan daripadanya kerana Allah telah menjadikan sejarah kebangkitan dan kejatuhan sesuatu umat dari abad ke abad untuk menjadi iktibar dan pelajaran bagi umat-umat yang datang kemudian, dan sebagai satu gambaran antara orang-orang yang beriman dengan orang-orang yang ingkar.

Hal itu ditegaskan secara umum dalam Al-Quran, antaranya adalah firmanNya dalam surah Ali Imran, ayat 140: Ertinya: Hari-hari kemenangan ini, Kami (Allah), pergilirkan antara manusia, supaya jelas oleh Tuhan orang-orang yang beriman itu, dan dijadikan sebahagian daripadanya menjadi kesaksian-kesaksian (syuhada'). Dan Tuhan tidak menyukai orang-orang yang zalim.

Pada hari yang kesepuluh bulan Muharram yang terkenal dengan sebutan Hari Asyura' ini, banyak terjadi di zaman dahulu kala peristiwa-peristiwa penting yang mempunyai nilai-nilai perjuangan. Sebahagian daripadanya dikisahkan dalam Al-Quran seumpama kisah Nabi Musa a.s, kemenangan Nabi Nuh a.s dan sebagainya. Peristiwa-peristiwa itu, riwayatnya terjadi pada hari yang kesepuluh bulan Muharram.

Rasulullah s.a.w menganjurkan kepada umatnya supaya mengambil nilai-nilai ruhaniah dari peristiwa-peristiwa tersebut. Tetapi bukan dengan merayakannya, bahkan dengan menjadikannya sebagai hari bagi meningkatkan ibadah dan amal.

Di antaranya dengan berpuasa pada Hari Asyura' itu. Keistimewaan berpuasa pada bulan Muharram itu dijelaskan dalam satu hadith Rasulullah s.a.w: Yang bererti: Puasa yang paling mulia sesudah bulan puasa Ramadhan ialah bulan Muharram. (Hadith riwayat Muslim).

Yang dimaksudkan dengan puasa bulan Muharram itu ialah puasa pada Hari Asyura' seperti yang ditegaskan lebih terang dalam satu hadith yang lain: Yang bererti: Puasa hari Asyura' menghapuskan dosa setahun yang telah lalu. (Hadith riwayat Muslim).

Oleh kerana hari Asyura' ini hari yang mulia, maka Islam menganjurkan agar kita membuat kebajikan kepada fakir miskin, kaum keluarga, khasnya anak-anak sendiri yang boleh membuat mereka merasa bahagia dan bersukaria.

Perkara ini dijelaskan dalam satu hadith yang menyatakan: Yang bermaksud: Sesiapa yang melapangkan jiwa dengan memberi hadiah-hadiah kepada anak buah dan ahli keluarganya pada hari Asyura', nescaya Allah akan memberikan dia kelapangan sepanjang tahun itu.(Hadith riwayat Al-Baihaqi).

Semoga Allah memberikan kita taufik untuk melakukan amalan soleh yang Ia redhai. Amin.....

No comments:

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran