KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Sunday, March 30, 2008

Jalan2 cari makan : Sup Jalan Penang

Oleh MOHD. AZELI ALI


SUP Hameed dijual antara RM3 hingga RM20 semangkuk dan menu paling istimewanya - sup telur lembu.


Dicicah dengan roti ban, pastinya tidak cukup hanya menjamah semangkuk sup di Restoran Sup Hameed.

MENYUSURI lorong dan jalan di tengah kesibukan George Town, anda mungkin tidak akan terlepas daripada melalui Jalan Penang.

Pelbagai perkara yang mampu menambat hati pasti diperoleh di situ sama ada pusat hiburan, tempat makan ataupun bazar beli-belah.

Jika teringin untuk mencuba pelbagai jenis jeruk dan makanan asam, singgahlah ke tingkat bawah Bazar Chowrasta yang menampilkan pelbagai pilihan jeruk seperti buah melaka, pala, betik, mangga, salak, kedondong dan kabung.

Harga yang ditawarkan ialah RM5 bagi setiap kilogram. Pengunjung boleh memilih sendiri jeruk kegemaran sama ada satu jenis atau mencampurkan pelbagai jenis yang ada.


Pilih buku lama di kedai No. 27


Bagi penggemar buku, bazar itu juga menjanjikan pilihan buku-buku baru dan lama termasuk yang berusia puluhan tahun.

Sebut sahaja genre yang diminati - novel seram, biografi, gaya hidup atau akademik, penjual buku di situ tahu yang mana satu menepati cita rasa anda.

Timbunan buku di deretan kedai itu menghimpunkan hasil karya penulis ternama dunia dan tempatan sebagai santapan minda kepada penggemar buku.

Kebanyakan buku di situ juga dijual pada harga yang amat berpatutan malah pembeli juga boleh menjual buku mereka yang telah habis dibaca.

Menurut pemilik kedai No. 67, Gulam Mohamad, 52, bazar buku itu menjadi pilihan pelancong asing yang gemar membaca.

“Pelancong ini suka datang ke sini bagi mencari buku-buku yang sukar diperoleh di tempat lain termasuk di Kuala Lumpur,” katanya.

Setelah penat menelaah buku di situ, perut pastinya berkeroncong minta diisi dan tibalah masanya anda menjengah ke kedai nasi kandar Line Clear yang dibuka 24 jam sehari.

Pelbagai lauk-pauk boleh dipilih di kedai tersebut sama ada ayam goreng, sotong, kari kepala ikan, udang galah, hati ayam atau daging yang pasti tidak sanggup dilepaskan pengunjung.

Tentunya anda teringat pesanan rakan-rakan bahawa tidak sah ke Pulau Pinang jika tidak ke sini untuk mendengar sendiri ucapan keramat ‘line clear’ oleh pemiliknya.

Di celah-celah deretan kedai di jalan itu juga terdapat gerai beroda yang menjual cendol, ais kacang untuk membasahkan tekak ataupun anda boleh memilih buah berangan goreng sebagai kudapan sambil berjalan di situ.

Di jalan sepanjang 200 meter itu juga terdapat tapak landasan kereta trem yang pernah menjadi identiti Pulau Pinang suatu masa dulu.


BECA-beca di Jalan Penang


Anda juga dapat melihat gelagat beberapa penarik beca yang bersila di kaki lima kedai untuk bermain dam tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu-lalang.

Mungkin itulah cara mereka melepaskan tekanan atau menghilangkan bosan menunggu pelanggan yang sudi menggunakan perkhidmatan mereka untuk menjelajah bandar atau dihantar ke destinasi tertentu.




Jika siangnya anda menjamah nasi kandar, pada waktu malam pula jangan lepaskan peluang mencuba pilihan sup seperti sup ayam, kambing, daging, ekor, lidah dan perut lembu, kaki kambing atau torpedo.

Dicicah dengan roti ban, pastinya tidak cukup hanya menjamah semangkuk sup di Restoran Sup Hameed yang terletak di hadapan Hotel Malaysia.

Malah di sekitar restoran itu juga terdapat deretan pusat hiburan buat mereka yang sukakan hiburan di kelab malam atau bar.

Tentunya tidak rugi berkunjung ke Pulau Pinang dan meneroka keistimewaan Jalan Penang.

No comments:

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran