KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Tuesday, April 15, 2008

Internet serang wanita

Oleh SUBASHINI RAJANDRA

Cheong menjadi mangsa kepada satu penipuan yang melibatkan sekeping gambar beliau yang pernah dimuat turun ke dalam laman web, Friendster.introoo...



HAMPIR setahun yang lalu atau pada 21 Mac 2007, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Cheong menjadi mangsa kepada satu penipuan yang melibatkan sekeping gambar beliau yang pernah dimuat turun ke dalam laman web, Friendster. Gambarnya itu telah digunakan untuk menjerat seorang lelaki yang dikenali sebagai A.T dan ekoran itu, beliau terpaksa menemui Datuk Michael Chong di pejabat Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA untuk membersihkan nama baiknya.

Semuanya bermula apabila pada satu malam yang malang, A.T bersembang dengan seorang pengguna laman sembang yang menggelar dirinya sebagai Jean. Jean yang menghantar gambar melalui dalam talian mendakwa gambar itu adalah dirinya dan kemudian meminta A.T menanggalkan baju dan seluar dalam.

Pada keesokan hari, lelaki tersebut menerima sistem pesanan ringkas (SMS) dari wanita itu yang meminta untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam bank atau menggugut menyebarkan rakaman gambar separuh bogel A.T ke dalam internet.

Kejadian ini bukanlah perkara baru kerana biro tersebut telah menerima lima kes seumpamanya dari empat orang wanita dan seorang lelaki pada tahun 2006. Dalam kes yang melibatkan A.T dan Cheong, Michael berkata, kedua-duanya menjadi mangsa satu komplot yang menyalahgunakan maklumat peribadi.

Pengguna dan pemilik blog terkenal selaku pelatih Java dan Pembangunan permainan komputer, Kathy Sierra turut tidak dapat lari daripada menerima tempias penyalahgunaan internet atau blog pada tahun lalu.

Emel yang berbaur ugutan seperti membunuh meninggalkan tekanan yang melampau ke atasnya dirinya sehingga memaksa beliau menutup blog miliknya serta-merta.


NORTON 360 version 2.0 bukan sahaja mempunyai sifat-sifat keselamatan yang diiktiraf tetapi mengelakkan pencerobohan yang boleh menjahanamkan data.


Sierra juga enggan keluar untuk memberi pendedahan atau tampil di khalayak ramai. Kehilangannya gara-gara disebabkan oleh tindakan seorang pengguna internet yang menghantar emel dengan gambar tali gantung.

Dengan diselubungi rasa takut dan cemas, Sierra terpaksa menarik diri daripada memberi ucapan di Persidangan ETech di San Diego, Amerika Syarikat.

"Saya membatalkan semua temujanji dan projek kerana terlalu bimbang untuk meninggalkan rumah. Saya minta maaf kepada semua pihak tetapi saya tidak mungkin akan berasa selamat seperti dulu. Saya tidak dapat menjadi diri saya semula," katanya yang merupakan penulis popular blog, Creating Passionate Users.

Sebaik beliau mendedahkan masalah yang dihadapinya kepada umum, Sierra mendapat sokongan yang cukup memberangsangkan. Dia berasa lebih positif. Meskipun dia mengakui persengketaan dalam dunia blog agak lazim, namun, dia yakin serangan ini menyasar dirinya sebagai seorang wanita dalam dunia teknologi yang dikuasai oleh kaum lelaki.

"Jika anda mahu melakukan sesuatu, jangan sesekali bertoleransi dengan penderaan dan keganasan mental atau seksual. Jangan biarkan mereka terlepas," ujarnya.

Wanita telah menjadi pengguna internet yang besar pada zaman sekarang termasuk bagi tujuan e-perdagangan dan memperluaskan rangkaian sosial. Jika penggunaan internet dimulakan oleh lelaki, wanita dengan pantas mengejar dari belakang. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Nielsen/NetRatings pada Mei 2006, sebanyak 52 peratus pengguna internet adalah wanita.

Tinjauan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) pula mendedahkan, tidak terdapat jurang perbezaan yang ketara di antara pengguna internet lelaki mahupun wanita. Pada 2006, pengguna internet lelaki ialah 53 peratus manakala wanita 47 peratus.


PEMILIK blog individu semakin bertambah di Malaysia sejak kebelakangan ini.


Bagaimanapun, wanita yang sentiasa berada dalam talian telah meningkat sebanyak 19 peratus sejak tahun 2003 berbanding dengan lelaki yang hanya bertambah sebanyak 12 peratus. Trend ini dijangka akan berterusan.

Di Malaysia, MCMC merekodkan lebih 13 juta pengguna internet (September 2006) dan daripada angka tersebut, dua juta adalah pengguna internet dari rumah (Disember 2006).

"Kita perlu terima hakikat bahawa golongan wanita cemerlang dari segi akademik dan ia merupakan faktor penting mengapa mereka mampu bertahan lama semasa melayari internet secara serius daripada permainan komputer," jelas Peneraju Perniagaan Norton rantau Asia Selatan, Symantec, Effendy Ibrahim.

Tambahnya, wanita bekerja kerap menggunakan kemudahan ini sejajar dengan kehidupan yang sentiasa sibuk lalu mengimbangkan masa untuk kerja, peribadi dan sosial.

Dengan akses kepada maklumat dan pengetahuan yang meluas, wanita secara tidak langsung mempunyai kuasa perkongsian pendapat dan pandangan yang bebas.

Bagi memperkasakan lagi perbincangan dua hala, seorang individu yang menonjol dalam kerja-kerja kebajikan dan sukarelawan negara, Datin Marina Mahathir dijemput oleh Symantec untuk berkongsi pengalamannya mengendalikan laman blog sejak lebih setahun yang lalu.

"Saya juga terima komen bersifat kurang ajar dan negatif. Ada kalanya, ia tidak mengecam isu yang dibangkitkan tetapi mengancam status saya sebagai anak kepada bekas Perdana Menteri," katanya yang banyak bergantung kepada internet sepanjang hari.

Ke mana juga kaki melangkah, Marina membawa 'teman sejatinya', Blackberry untuk mendapat akses kepada internet secara mudah. Marina menggunakan internet untuk pelbagai tujuan seperti bercakap dengan anak-anak di Australia, mengemaskini blog dan bermacam-macam lagi.


WANITA bekerja kerap menggunakan kemudahan ini sejajar dengan kehidupan yang sentiasa sibuk. - Gambar hiasan

"Saya berasa lebih selesa untuk meluahkan sesuatu pandangan tanpa perlu berada di situ secara fizikal. Tetapi saya sentiasa mempraktikkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak diduga."

"Misal kata, penghantaran emel yang berbaur ugutan. Seboleh-bolehnya, saya tidak menghiraukan emel itu kerana kadang-kadang siapa penghantar sebenar tidak dapat dipastikan. Ada kalanya, individu terlibat menggunakan nama samaran kepunyaan saya atau orang lain. Saya sekadar membiarkan hal itu berakhir sendiri daripada mengesahkan diri sebenar," kata Marina.

Enggan menerima nasib buruk yang pernah menimpa selebriti, Paris Hilton satu ketika dahulu apabila pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh masuk ke dalam telefon bimbit peribadinya, Marina sentiasa berwaspada dengan kandungan dan gambar yang dimuat turun ke dalam blog kerana beliau sedar bahawa sekali ia masuk ke dalam internet, ia akan berada di situ untuk selamanya.

"Jika anda tidak mahu orang tahu sesuatu, jangan masukkan gambar anda ke dalam internet," ujarnya.

1 comment:

Blogger said...

I've used AVG protection for many years now, and I recommend this solution to you all.

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran