KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Saturday, September 20, 2008

Apa itu Lailatul Qadr dan apa kelebihannya?

Lailatul Qadr adalah suatu malam yang paling istimewa, paling utama dan paling barakah dalam setahun. Firman Allah Ta`ala mafhumnya:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Qur’an) pada Lailatul Qadr. Dan tahukah kamu apa Lailatul Qadr itu? Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah Al-Qadr 97: 1-3)

Atas kelebihan ini umat Islam amatlah digalakkan melakukan amal ibadah khusus sebanyak mungkin pada malam ini. Sesiapa yang melepaskan peluang bertemu malam ini sebenarnya telah terlepas peluang mendapatkan ganjaran yang amat besar.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa al-Rasul (s) bersabda: “Sesiapa yang berdiri (di dalam qiyam) pada Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan (akan ganjaran Allah), akan dihapuskan seluruh dosanya yang telah lalu.” (al-Bukhari, Muslim)

Apa persiapan kita untuknya?

Ada beberapa amalan khusus yang boleh kita amalkan sebagai persediaan kita untuk bertemu dengan malam istimewa ini, antaranya:

Melakukan salat qiyam
Sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith Abu Hurairah di atas.

Membanyakkan berdoa
`A’ishah (r) pernah bertanya kepada al-Rasul (s): “Ya Rasulallah! Jika aku mendapati Lailatul Qadr apakah yang perlu aku baca ketikanya?” Al-Rasul (s) menyuruhnya membaca:

(Maksudnya: Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Pengampun dan Engkau menyukai keampunan maka ampunilah aku). (Ahmad, Ibnu Majah, al-Tirmidhi, disahihkan oleh al-Albani)

Meninggalkan kenikmatan dunia untuk beribadah
`A’ishah (r) juga pernah berkata: “Apabila sepuluh (terakhir Ramadan) telah bermula, al-Rasul (s) akan menjauhi isteri-isterinya, berjaga sepanjang malam (untuk beribadat) dan membangunkan ahli keluarganya.” (Muslim)


Bila sebenarnya Lailatul Qadr?

Ulama’ berbeza pandangan mengenai kedatangan malam ini. Ada yang berkata malam ke-21, 23, 25, 27 dan 29. Ada yang berpandangan ia tidak tetap malah berubah-ubah setiap tahun tetapi sentiasa pada 10 malam terakhir.

Banyak hadith yang menyebutkan tentang bilakah Lailatul Qadr perlu dicari.

Ibnu `Umar meriwayatkan bahawa al-Rasul (s) bersabda: “Carilah ia pada 10 malam terakhir. Jika ada di antara kamu yang lemah, janganlah dia meninggalkan tujuh malam terakhir.” (al-Bukhari, Muslim)

Pada hakikatnya malam ini dirahsiakan daripada pengetahuan umat.

`Ubbadah bin al-Samit berkata bahawa al-Rasul (s) memasuki masjid dan mendapat dua orang lelaki sedang bertengkar. Baginda (s) bersabda: “Aku telah datang untuk memberitahu kamu tentang Lailatul Qadr, apabila dua orang lelaki ini bertengkar dan pengetahuan ini telah diangkat (diambil), dan mungkin ini lebih baik untuk kamu. Maka carilah ia pada malam ke-9, 7 dan 5 (selepas 20).” (al-Bukhari)

Dan daripada Abu Sa`id al-Khudri bahawa al-Rasul (s) pernah bersabda: “Carilah ia pada 10 terakhir, pada malam yang ganjil.” (al-Bukhari)

Maka apa yang pasti kita amat digalakkan untuk mencarinya 10 malam terakhir, terutamanya pada malam ganjil. Adapun kerahsiaan akan kedatangan malam ini adalah antara hikmah Allah Ta`ala untuk umatNya.

[Akan bersambung dgn Bahagian 2 insha Allah]

No comments:

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran