KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Wednesday, January 28, 2009

Saintis kaki lima

Sudah lapan tahun Abdul Halim memberi ceramah mengenai sains dan matematik di jalanan.




SEKALI imbas jika terserempak dengannya di ibu kota, kita pasti menyangka dia tidak lebih daripada seorang penjual ubat jalanan.

Lebih ekstrem, ramai mendakwa dia mungkin gila apabila melihat tulisan yang digayut di dadanya ‘Saya Ketua Saintis Dunia’.

Tapi bagi Abdul Halim Bustaman, biar apa pun gelaran diberi orang ramai, dia tetap dengan caranya yang mengemukakan idea sains dan matematik ciptaannya di jalanan.

Dengan berketayap dan berjubah, lelaki berusia 54 tahun itu sebenarnya hampir lapan tahun memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kajian dalam bidang sains dan matematik yang didakwanya sering dipandang serong oleh masyarakat di negara ini.




“Saya bukan gila. Tujuan saya lakukan semua ini hanya untuk mendatangkan minat kepada orang ramai mengenai ilmu matematik dan sains.

“Saya sudah lali dengan pandangan masyarakat yang memandang rendah pada ilmu yang saya peroleh ini,” kata bapa kepada lapan orang anak berasal dari Ipoh, Perak ini.

Menurut Abdul Halim, dia sebelum ini pernah berkhidmat sebagai seorang guru yang mengajar mata pelajaran matematik selama 10 tahun dan kemudiannya berhenti menjadi guru dan mula membuat kajian terhadap sistem pengajaran matematik. Sistem logik yang pernah dipopularkan oleh Edward de Bono dari Universiti Oxford.

“Teknik dan kepakaran saya dalam bidang matematik diakui golongan cerdik pandai tempatan mahupun luar negara. Malah, beri peluang pada saya membentangkan kertas kerja di institusi pengajian tinggi dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka,” katanya.

Ujar penceramah ini lagi, kerjaya sebagai penceramah jalanan telah dilakukan sejak lapan tahun lalu dan selama tempoh itu, Abdul Halim juga mendakwa sudah mengelilingi semua daerah dalam negara untuk menyampaikan hasil kajiannya itu.

“Saya akan berceramah di kaki lima antara 40 minit ke satu jam, kemudian balik rumah anak-anak atau balik Ipoh terus. Sepanjang tempoh itu juga, lebih 10,000 buah buku hasil kajiannya telah dijual,” katanya.

Apabila ditanya apakah impian yang ingin dicapai sebagai penceramah jalanan pada tahun baru ini, beliau dengan pantas membalas:

“Tahun depan saya beri ceramah di kota London. Pada masa ini saya cuma menunggu untuk mendapat kebenaran berceramah di sana sahaja lagi,” katanya.

Selain berazam ingin melahirkan lebih ramai pemikir Islam, Abdul Halim juga berhasrat bersemuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk bercerita sendiri pengalaman dirinya menjadi penceramah jalanan dan kajian dilakukan.

Pada satu pertemuan di Kuala Lumpur, Abdul Halim sempat menunjukkan beberapa helai sijil penyertaan dan penglibatan dalam beberapa siri lawatan dan gambar ketika berjumpa dengan tokoh akademik yang disimpan dalam kotak di atas troli yang digunanya membawa papan putih ketika memberi ceramah.

No comments:

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran