KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Friday, March 27, 2009

Tazkiah Annafsi : Buatlah Minuman Yang Sedap Dari Limau Nipis Yang Masam

Orang cerdik akan berusaha mengubah kerugian menjadi keuntungan. Manakala orang bodoh akan membuat suatu musibah menjadi tertakuk dan bertumpuk-tumpuk. 

Ketika Baginda Rasul s.a.w dihalau dari Makkah, beliau memutuskan untuk menetap di Madinah dan kemudian berjaya membinanya menjadi satu negara yang sangat popular di telinga dan mata sejarah.

Ahmad bin Hanbal pernah dipenjara dan dihukum dera,tetapi sebab itu pulalah ia kemudian menjadi imam salah satu mazhab. Ibnu Taimiyyah pernah dipenjara, tetapi malah di penjara itulah ia banyak menghasilkan karya yang bermutu. As-Sarkhasi pernah dikurung di dasar perigi selama bertahun-tahun, tetapi di tempat itulah ia berjaya mengarang buku sebanyak dua puluh jilid.

Apabila Ibnul Athir dipecat dari jawatannya, ia berjaya menyelesaikan karya besarnya yang bertajuk Jami’ul Ushul dan An-Nihayah, salah satu buku paling terkenal dalam bidang hadis. Demikianlah juga halnya dengan Ibnu al-Jawzi, beliau pernah diasingkan dari Baghdad, dan kerana itu beliau menguasai qiraah sab’ah (tujuh cara membaca al-quran).

Malik bin Ar-Raib mengalami sejenis penyakit yang boleh membunuh, namun ia mampu menggubah puisi-puisi yang sangat bagus dan tidak kalah dengan karya-karya para pujangga besar lainnya pada masa zaman Abbasiyyah. Kemudian, ketika semua anak Abu Zuaib Al-Huzali mati meninggalkannya seorang diri, sebaliknya pada masa itulah ia mampu menghasilkan nyanyian-nyanyian puitis yang mampu menutup mulut zaman, membuat setiap pendengarnya tertarik, memaksa sejarah untuk tetap bertepuk tangan setiap kali diperdengarkan semula.

Demikianlah hendaknya ketika anda ditimpa suatu musibah, anda perlu melihat aspek yang paling terang dan sudut positifnya; ketika seseorang memberi anda segelas air limau, anda perlu menambah sesudu gula ke dalamnya; ketika mendapat hadiah seekor ular, ambil sahaja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain; ketika disengat kala jengking, ketahuilah bahawa sengatan itu sebenarnya memberi kekebalan pada tubuh anda dari bahaya bisa ular.

Kawallah diri anda dalam apa juga bentuk dan jenis kesusahan yang anda hadapi. Dengan begitu, anda akan dapat menghadiahkan bunga mawar dan melati yang harum kepada dunia.

"dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu"

(Surah Al-Baqarah:216)

Sebelum tercetus revolusi besar di Perancis, konon negara itu pernah memenjara dua sasterawan terkenal. Seorang daripada kedua-duanya bersikap sangat optimis dan yang seorang lagi bersikap sangat pesimis tentang kemungkinan tercetusnya revolusi dan perubahan akan segera berlaku.

Tiap-tiap hari kedua-duanya sama-sama melonggokkan kepala melalui celah-celah jerjak penjara. Cuma, sang sasterawan yang optimis sentiasa memandang ke atas dan melihat bintang-bintang yang gemerlapan di langit. Dan kerana itu ia selalu nampak tersenyum riang. Manakala sasterawan yang pesimis tadi, ia selalu melihat ke arah bawah dan hanya melihat tanah hitam di depan penjara, dan kemudian menangis kerana sedih.

Begitu jugalah sepatutnya sikap anda, iaitu selalu melihat sudut lain dari kesedihan itu. Kerana belum tentu semuanya menyedihkan, pasti ada kebaikan, secercah harapan, jalan keluar serta pahala. 

Dinukil dari terjemahan la tahzan Dr ’Aidh Abdullah Al-Qarni

No comments:

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran