KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Wednesday, October 21, 2009

Peperiksaan hakiki yang dilupakan

Kehidupan kita sebagai hamba Allah sebenarnya menghadapi ‘peperiksaan’ setiap hari tanpa kita sedari. Kegagalan atau mendapat markah yang rendah dalam ‘peperiksaan’ di dunia ini masih boleh diperbaiki pada masa-masa yang akan datang.

Pada hakikatnya, kegagalan yang seperti ini tidak memberi kesan yang besar pada diri seseorang insan. Mungkin hanya akan menjejaskan ‘sedikit’ peluang pekerjaan. Hanya sedikit.. kerana masih ramai yang boleh berjaya tanpa kecemerlangan akademik.

Akan tetapi, ‘peperiksaan yang hakiki’ yang sedang dan akan terus dilalui oleh setiap hamba Allah pada setiap hari adalah satu peperiksaan yang akan menentukan kedudukannya di akhirat kelak. Sama ada mendapat kebahagiaan yang abadi atau ditimpa kecelakaan yang hakiki. Jika kita gagal dalam ‘peperiksaan’ ini, tiada lagi peluang untuk memperbaiki diri setelah kita kembali menghadap Allah ‘Azza wa Jalla.

Bahkan Allah S.W.T telah menjadikan mati dan hidup kita ini juga sebagai ‘peperiksaan’ untuk melihat siapakah yang paling baik amalannya. Firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (al-Mulk: 2)

Menurut para ulama tafsir, amalan yang paling baik yang dituntut dalam ayat-ayat al-Quran adalah suatu amalan yang paling ikhlas dan paling bertepatan dengan syariat. Kita juga dituntut untuk mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

'Peperiksaan' yang menguji umat manusia, siapakah yang bersyukur (beriman) dan siapakah yang kufur dari kebenaran. ‘Peperiksaan’ ini sudah disediakan saat kita mula dijadikan oleh Allah Ta’ala: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.” (Al-Insan: 2-3)

Dunia ini juga dijadikan ‘peperiksaan’ dengan perhiasan di atas muka bumi untuk menguji umat manusia. Firman Allah Ta’ala (bermaksud) : “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya.” (al-Kahfi: 7)

Allah Ta’ala menjadikan bumi ini tempat tinggal makhluk-makhlukNya sebagai tempat berusaha dan beramal, agar nyata di kalangan mereka siapakah yang taat dan patuh kepada segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.
Adakah kita telah ditipu dan diperdayakan oleh kesenangan dunia yang sedikit atau terus hanyut dibawa arus material yang deras? Allah Ta’ala menguji kita dalam ‘peperiksaan’ ini, agar menjadi nyata siapakah dari kalangan hamba-hambaNya yang paling baik amalannya.

Bagi orang-orang yang diberi nikmat dan kesenangan dunia, sama ada ilmu yang luas, harta yang melimpah ruah atau kekuasaan yang menyebabkan dia berasa besar diri, renungilah kata-kata Nabi Sulaiman a.s yang dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmatNya),” (al-Naml: 40)

Betapa ramai orang yang berasa hebat dengan sedikit ilmu yang dimiliki lalu memperlekeh orang lain? Ilmu pengetahuan juga adalah ujian dari Allah untuk melihat adakah kita bersyukur dan tawadduk atau ingkar lalu menjadi bongkak dan ‘ujub pada diri sendiri. Begitulah juga dengan harta, kekuasaan dan sebagainya.

Kesemuanya adalah ‘peperiksaan’ yang kita lalui setiap hari.
Bagi para pemimpin yang memerintah, di sana juga terdapat ujian, adakah kita menjalankan amanah dengan mengikut syariat Allah atau sebaliknya.

Firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikanNya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksaanNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-An’am: 165)

Dalam ‘peperiksaan’ ini, kita digesa agar berlumba-lumba mengejar kebaikan. Firman Allah Ta’ala: “..tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberianNya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebaikan. Hanya kepada Allahlah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukanNya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. “ (al-Maidah: 48)

'Peperiksaan' ini akan berterusan sehinggalah datangnya saat kematian, ini bagi menamatkan tempoh cubaan dan ujian yang dihadapinya semasa hidup. Firman Allah S.W.T (bermaksud): “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). dan Hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya’: 35)

Firman Allah lagi (bermaksud): “Di tempat itu (padang Mahsyar), tiap-tiap diri merasakan pembalasan dari apa yang telah dikerjakannya dahulu dan mereka dikembalikan kepada Allah Pelindung mereka yang sebenarnya dan lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.” (Yunus: 30)

Inilah ujian dan peperiksaan yang hakiki yang sering dilupakan oleh insan. Berapakah markah yang bakal kita perolehi kelak? Yang pastinya, kita tidak lagi memerlukan segolong ijazah untuk mendapatkan pekerjaan di sana.. di alam akhirat.



Sumber: permaya

No comments:

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran