KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Friday, December 11, 2009

45 minit 'baiki' jantung

rawatan injap jantung tanpa pembedahan terbuka lebih mudah dan cepat sembuh.




BAGI Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, 76, masalah pernafasan yang dialaminya sentiasa membuatkan beliau mudah kepenatan. Namun, pada 26 November lalu, setelah menjalani implantasi injap aorta bagi menggantikan injap yang sempit (stenosis) menerusi teknik kateter Transcatheter Aortic Valve Implantation atau TAVI, kesihatan beliau bertambah baik. Malah kadar pernafasan beliau turut memberangsangkan.

Alternatif dan inovasi terbaru TAVI Medtronic CoreValve di Malaysia dan pertama di Asia itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Robaayah Zambahari, cukup berkesan dalam merawat pesakit jantung yang mengalami kesempitan injap aortik.

Ujarnya, ramai yang tidak sedar mengenai penyakit injap jantung, terutama yang melibatkan kemerosotan stenosis aorta akibat pertambahan usia.


KIRI: COREVALVE akan mengembang secara automatik mengikut suhu badan.

KANAN: KATETER dimasukkan dari pangkal paha pesakit.

BAWAH: STENOSIS aorta punca injap jantung bermasalah.


Biasanya, ia berlaku pada golongan lanjut umur di mana injap jantung menjadi keras dan sempit. Kerosakan injap aortik boleh juga disebabkan oleh demam reumatik dan injap aortik bikuspid kongenital.

Ini menyebabkan injap yang bertindak sebagai pintu dari jantung tidak dapat mengepam darah yang membawa oksigen dan nutrien ke seluruh tubuh dengan sempurna.



"Dengan keadaan fizikal yang lemah dan ditambah pelbagai penyakit lain, golongan ini amat berisiko bagi pembedahan secara terbuka," jelas Robaayah.

Justeru, prosedur yang hanya melibatkan satu insisi kecil pada pangkal paha (trans-femoral) akan dilakukan bagi memasukkan kateter.

Mengembang

Bagi pesakit yang mempunyai masalah kesempitan atau saluran tersebut tersumbat, satu lagi alternatif ialah dengan melakukan prosedur ini melalui saluran darah subklavian yang terdapat di bawah tulang selangka.

Jelas Robaayah, CoreValve tersebut akan ditempatkan di posisi injap aortik yang rosak, berfungsi sebagai injap gantian yang dimasukkan menerusi penggunaan kateter.

Dengan melalui saluran darah hingga sampai ke injap aorta yang rosak secara perlahan-lahan, CoreValve tersebut akan dilepaskan sehingga mencapai saiz yang mencakupi injap asal.

"Alatan tersebut akan mengembang secara automatik mengikut suhu badan. Dalam masa yang sama, CoreValve akan mengembang dan menolak injap yang rosak ke tepi dan menggantikannya dengan injap baru," ujar Robaayah.


ROBAAYAH

Prosedur ini hanya mengambil masa selama 45 minit.

Ketua Jabatan Kardiologi IJN, Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali menjelaskan, tiga pesakit yang telah menjalani prosedur itu setakat ini telah menunjukkan kadar penyembuhan yang amat pantas.

"Beberapa jam selepas pembedahan, pesakit sudah boleh bangun dan bergerak tanpa bantuan. Malah kadar pernafasan ketiga-tiga pesakit itu juga semakin baik," katanya.

Selain itu, prosedur ini juga berjaya mengurangkan risiko selepas pembedahan termasuk penggunaan ubat bius serta jangkitan pada luka pembedahan.

"Walaupun jangka hayat penggunaan alatan ini tidak dapat dipastikan namun sepanjang sembilan tahun digunakan di beberapa institusi perubatan di Amerika Syarikat dan Eropah, ia menunjukkan perkembangan positif tanpa kesan sampingan," jelasnya lagi. - SHANIKA ABDULLATIB

No comments:

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran