KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Wednesday, January 27, 2010

Kenapa macam tak ada yg peduli je BOMBA SUKARELA Pendang..

PENDANG – Pasukan Sukarelawan daerah Pendang mendakwa mereka dipinggirkan kerajaan apabila setiap masalah dan permohonan yang dimohon mereka sekian lama tidak mendapat perhatian pihak kerajaan sedangkan pasukan itu begitu aktif di daerah itu.

Sinar Harian dimaklumkan, Pasukan Bomba Sukarelawan daerah itu menggesa Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada pasukan itu memandangkan daerah ini tidak mempunyai balai bomba seperti daerah lain.

Balai Bomba Sukarelawan daerah Pendang dibuka pada 1960an yang merupakan pasukan pertama di negeri Kedah yang mempunyai pasukan bomba sukarelawan namun sehingga kini masalah yang dihadapi tidak pernah mendapat perhatian mana-mana pihak.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarelawan daerah Pendang, Hong Keng Yong berkata, pasukan ini berasa seolah-olah dipinggirkan kerajaan apabila setiap permohonan dan masalah yang diajukan tidak pernah mendapat perhatian.

Menurutnya, Balai Bomba Sukarelawan daerah Pendang sering mengalami masalah kewangan dalam menjalankan operasi tetapi masalah ini langsung tidak dihiraukan sehinggakan pasukan ini terpaksa bergerak memohon sumbangan orang ramai.

“Ahli pasukan terpaksa bergerak memohon sumbangan masyarakat setempat bagi menampung tabung kewangan balai bomba sukarelawan di sini.

“Kerajaan Negeri harus memberi perhatian kepada pasukan bomba sukarelawan apabila pasukan kami mengalami masalah kewangan untuk menjalankan operasi ke tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, bagi mengumpul dana kewangan setiap tahun pasukan sukarelawan mengadakan pertunjuk tarian singa ke rumah-rumah dan wang yang diberi itu akan dimasukkan ke dalam tabung bomba sukarelawan untuk menampung segala kos operasi.

“Pelbagai cara terpaksa difikirkan bagi mencari kewangan tetapi pihak atasan tidak pernah menghiraukan masalah yang dialami.

“Pelbagai masalah yang dialami di sini telah diajukan kepada pemimpin atasan dan pernah ketika dahulu kepada menteri namun aduan dan luahan masalah kepada mereka ibarat cakap-cakap kosong apabila tiada apa-apa tindakan diambil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Bomba Sukarelawan daerah Pendang, Chin Weng Hem berkata, banyak pihak yang turun padang melawat balai bomba sukarelawan di sini dan pelbagai masalah diadukan dan pihak berkenaan berjanji akan menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.

“Pasukan bomba sukarelawan berasa lega ketika dimaklumkan segala masalah mereka akan diselesaikan namun janji itu ibarat kata-kata manis sahaja,” katanya.

Katanya lagi, banyak peralatan dimohon balai bomba sukarelawan di sini kepada Kerajaan Negeri namun peralatan yang diberi tidak seperti yang dimohon.

“Kami memohon peralatan dan jentera lain namun pihak berkenaan memberi peralatan yang tidak dipohon menyebabkan pasukan ini tidak berpuas hati.

“Peralatan yang diberi sudah ada di balai sukarelawan di sini dan pihak berkenaan harus menitikberatkan peralatan atau jentera yang begitu diperlukan,” katanya.

Penolong Pasukan Bomba Sukarelawan daerah Pendang, Tak Han Chuan berkata, pasukan sukarelawan di sini begitu memerlukan sumber kewangan bagi menampung kos operasi terutamanya kos minyak yang begitu tinggi.

“Masalah kewangan yang dihadapi ini menyebabkan ada ahli pasukan terpaksa menggunakan wang sendiri untuk mengisi minyak ketika hendak ke tempat kejadian.

“Kami juga tidak dapat menampung seterusnya kos minyak memandangkan ahli pasukan hanya terdiri daripada petani sahaja,” katanya.

Beliau berkata, ketiadaan kewangan menjejaskan operasi ke tempat kejadian tetapi masalah ini langsung tidak diambil perhatian mana-mana pihak.

“Ketika musim kemarau banyak kejadian berlaku sehinggakan kos kewangan mencecah RM2,500 sebulan.

“Kami memohon jentera yang mempunyai tangki air tetapi yang diberi adalah jentera biasa yang dapat mengisi air hanya 2,000 liter dan masalah ini menyebabkan pasukan sukarelawan mengumpul duit sendiri dengan membeli jentera yang lebih baik iaitu dapat mengisi air lebih 3,000 liter namun kini ia semakin usang dan hanya menunggu rosak,” katanya.

Katanya lagi, pasukan sukarelawan tidak mengharapkan sebarang elaun kepada ahli pasukan tetapi memohon peruntukan kewangan untuk menampung kos operasi.

Sementara itu, beliau berkata, pasukan sukarelawan tidak mempunyai apa-apa perlindungan insurans ke atas diri mereka malah pakaian yang dipakai pasukan sukarelawan tidak mempunyai ciri keselamatan.

“Pakaian yang dipakai dibuat sendiri bukan khas untuk bomba dan ini membahayakan pasukan kerana sekadar hiasan baju bomba sahaja.

“Ketidaklengkapan pakaian oleh pasukan bomba sukarelawan melambangkan imej pasukan bomba sukarelawan negara ini jika banyak pihak media yang datang ke tempat kejadian melaporkan kejadian,” katanya.

1 comment:

bad said...

hmmmm..pasukan bomba ni dok kat umah aku ni...dulu-dulu masa aku skolah selalu aku tengok depa buat latihan sembor ayaq kat bumbung rumah orang kampong.

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran