KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Wednesday, March 3, 2010

Kasih Allah pada mereka yang bertaubat

Dari Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Wahai manusia! Bertaubatlah kamu semua kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepadanya seratus kali setiap hari.” [Muslim]

Dalam sebuah Hadith yang diketengahkan oleh Bukhari dan Muslim secara sepakat disebutkan bahawa: dahulu di kalangan orang-orang yang sebelum kalian -yakni kaum Bani Israil- ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Dia ingin menjumpai seorang abid untuk meminta fatwa supaya dia dapat bertaubat dari dosanya. Sebaik saja berjumpa, dia pun menerangkan bahawa dia telah membunuh 99 orang dan bertanya sama ada dia masih ada peluang untuk bertaubat. Abid itu dengan tegas mengatakan dia tidak boleh bertaubat kerana dosanya terlalu banyak. Lelaki itu mejadi marah dan terus membunuh abid itu, menjadikannya mangsa yang ke-100.

Dia masih ingin untuk bertaubat dan terus mencari kalau-kalau ada ulama yang boleh membantunya. Akhirnya dia berjumpa dengan seorang ulama. Dia menceritakan bahawa dia telah membunuh 100 orang dan bertanya sama ada Allah masih menerima taubatnya.

Lelaki itu bertanya : “Aku telah membunuh 100 orang yang terpelihara darahnya, maka masih adakah jalan taubat bagiku?”

Ulama itu bertanya balik : “Lalu siapakah yang menghalang-halangi antara kamu dengan taubat dan siapakah yang mencegahmu dari melakukan taubat?

Seterusnya dia menyuruh lelaki itu pergi ke sebuah negeri di mana terdapatnya pemuda-pemuda soleh. Apabila sampai di sana nanti, ulama itu menyuruhnya tinggal di sana dan beribadat bersama mereka. Ulama itu melarangnya pulang ke negeri asalnya yang penuh dengan maksiat. Lelaki itu mengucapkan terima kasih lalu terus menghala ke negeri yang diterangkan oleh ulama tadi. Sebaik saja sampai separuh perjalanan, dia jatuh sakit lalu meninggal dunia.

Dia belum pernah solat, belum pernah puasa, belum pernah bersedekah, belum pernah membayar zakat, dan belum pernah mengerjakan kebaikan sama sekali, tetapi dia kembali kepada Allah dengan bertaubat, menyesal, berharap, dan takut kepada-Nya.

Maka datanglah malaikat rahmat dan malaikat azab untuk mengambil dan menerima nyawanya dari malaikat maut yang mencabutnya. Mereka berlaku perselisihan ke mana hala tuju lelaki ini. Malaikat rahmat berkata: “Sesungguhnya dia datang untuk bertaubat dan menghadap kepada Allah menuju kepada kehidupan yang taat, kembali kepada Allah, dan dilahirkan kembali melalui taubatnya itu. Oleh kerana itu, dia adalah bahagian kami.”

Malaikat azab berkata: “Sesungguhnya dia belum pernah melakukan suatu kebaikan pun. Dia tidak pernah sujud, tidak pernah solat, tidak pernah zakat, dan tidak pernah bersedekah, maka dengan alasan apakah dia berhak mendapatkan rahmat? Bahkan dia termasuk bahagian kami.”

Allah pun mengirimkan malaikat lain dari langit untuk melerai persengketaan mereka. Selanjutnya, malaikat yang baru diutus itu pun datang kepada mereka yang telah menjadi dua golongan yang bertengkar.

Malaikat yang baru berkata kepada mereka: ”Tahanlah oleh kalian. Sesungguhnya penyelesaian menurutku ialah hendaklah kalian sama-sama mengukur jarak antara lelaki ini dan tanah yang ia tinggalkan, iaitu kampung yang jahat, dan jarak antara dia dan kampung yang ditujunya, iaitu kampung yang baik.”

Ketika mereka sedang sama-sama mengukur, Allah memerintahkan bumi untuk berubah, menyebabkan jarak lelaki itu kepada kampung jahat semakin jauh dan jarak kepada kampung yang baik menjadi lebih dekat. Lalu roh lelaki itu terus diambil oleh Malaikat Rahmat. Lelaki itu akhirnya mendapat pengampunan Allah.

(KISAH LELAKI INI DISEBUTKAN DALAM SHAHIH BUKHARI NO. 3395, SHAHIH MUSLIM NO. 6957, DAN AHMAD NO.10924.)

No comments:

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran