KLIK UNTUK BACA AL-QURAN

Thursday, December 31, 2009

Barah angkara kurang tidur

ANDA mungkin seorang yang sibuk dan aktif menjalankan aktiviti fizikal. Ia bagus kerana kegiatan berpeluh itu mampu mengurangkan risiko kanser khususnya di kalangan wanita.

Namun, jika anda cuma boleh tidur kurang daripada tujuh jam, anda akan berdepan dengan risiko barah yang lebih tinggi.

Menurut Felo Pencegahan Kanser di Institut Barah Kebangsaan Amerika Syarikat, Prof. James McClain, mereka yang sangat aktif menunjukkan pengurangan risiko barah sehingga 25 peratus berbanding yang tidak aktif.




Bagaimanapun, apabila kajian terhadap paten tidur golongan aktif dilakukan, didapati mereka yang tidur kurang daripada tujuh jam semalaman berdepan dengan risiko barah hampir dua kali ganda berbanding dengan mereka yang tidur lebih tujuh jam.

Kajian selama 10 tahun itu melibatkan 5,968 wanita di Maryland berumur 18 tahun ke atas.

EKSTRA: Imbasan menggunakan mesin MRI menunjukkan aktiviti otak di bahagian yang berfungsi merasakan sakit meningkat semasa kita melihat orang sakit. Kemampuan itu disebut sebagai kesakitan fungsi. "Orang yang mengalami kesakitan fungsi akan berasa sakit meskipun dia tidak cedera secara fizikal," kata penyelidik di Universiti Birmingham, Dr. Stuart Derbyshire.

Wednesday, December 30, 2009

Devic ragut kehidupan




Seorang ratu cantik berisiko buta dan lumpuh tiba-tiba.

"PENGLIHATAN beransur kabur sehingga satu hari mata kiri saya tidak dapat melihat apa-apa lagi. Ia pengalaman yang sangat menakutkan.

"Seminit lalu, saya mampu melihat seperti manusia biasa, tetapi minit berikutnya saya hanya melihat kegelapan.

"Penyakit Devic ini bukan sekadar meragut penglihatan malah memberi tekanan pada jiwa saya.

"Selain banyak menangis serta hilang keyakinan diri, saya juga merasakan hidup ini tidak berguna lagi," luah Nicola Thomas, 23, seorang gadis jelita yang pernah memenangi gelaran Ratu Cantik Caerphilly 2010 di bandar kelahirannya, Wales Selatan.

Tahun lalu, Nicola hilang penglihatan mata kirinya buat seketika namun sembuh sebelum kembali buta awal tahun ini.

Nasibnya lebih malang apabila doktor memberi amaran bahawa dia mungkin boleh buta pada bila-bila masa.

Punca tidak diketahui

Sungguhpun begitu, Nicola yang layak bertanding bagi merebut mahkota Ratu Cantik Wales pada musim panas depan, mempunyai impian untuk mewakili Wales pada pertandingan Ratu Cantik Dunia sebelum dia menjadi buta buat selama-lamanya.

"Tiada siapa tahu bila sebelah lagi mata saya akan buta tetapi saya mahu berusaha sedaya upaya bagi mencapai impian semasa saya masih boleh melihat," katanya yang mula menyedari penglihatan mata kirinya menjadi kabur dua tahun lalu semasa menonton televisyen bersama ibunya, Carol, 45.

Penyakit Devic atau nama penuhnya Devic Neuromyelitis Optica ditakrifkan sebagai penyakit yang jarang berlaku dan tidak diketahui puncanya.

Menurut Pakar Perunding Oftalmologi, Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Dr. Zainal Mohamad, asas penyakit Devic ialah keradangan yang berkait dengan sistem imun.


TANPA diduga, dunia cerah Nicola Thomas tiba-tiba sahaja menjadi gelap angkara penyakit Devic.


"Penyakit ini mengakibatkan sistem myelin iaitu tisu di dalam saraf rosak dan menjadikan perjalanan pantas rangsangan saraf terbatas.

"Cuba bayangkan saraf kita seperti sosej yang bersambung-sambung, apabila berlaku kerosakan myelin, sosej itu akan menyusut dan hilang.

"Proses yang dikenali sebagai demyelination ini menyebabkan transmisi rangsangan ke saraf pusat terencat," jelas beliau.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai fenomena itu, Zainal berkata, sesetengah kes penyakit ini dapat dikesan menerusi pemeriksaan imbasan MRI.

"Jika didapati ada kelainan pada saraf tunjang dan saraf optik serta pesakit berdepan dengan beberapa kegagalan fungsi organ, pesakit itu berdepan dengan serangan yang boleh berlaku serentak ataupun berasingan.

"Devic akan menyerang dua struktur tubuh iaitu saraf tunjang dan saraf optik atau mata.

"Apabila seseorang pesakit itu menghidap Devic, dua simptom awal ialah masalah penglihatan dan kelumpuhan saraf seperti kebas, lumpuh dan tidak boleh membuang air besar atau kecil.

"Walau bagaimanapun spektrum kegagalan fungsi berbeza-beza dan bergantung kepada keadaan pesakit. Buta boleh menjadi petanda awal dan ia juga mungkin kesan terakhir kepada penyakit ini," katanya.

Antara petanda seseorang itu menghidap penyakit berkaitan saraf ini ialah pesakit mungkin berdepan dengan masalah tangan tidak boleh diangkat, kaki tidak boleh digerakkan dan buta. Lebih serius, pesakit tidak dapat membuang air kecil dan besar serta lumpuh seluruh badan.




Ancam kanak-kanak

"Bagaimanapun simptom penyakit ini tidak dapat dijangka yang mana datang dahulu kerana ia bergantung kepada masa dan jenisnya," ujar Zainal.

Tidak menolak kemungkinan kanak-kanak berdepan risiko Devic, beliau memberitahu: "Tidak dapat ditentukan had umur. Malah, menurut kajian, kanak-kanak seawal usia empat tahun boleh mendapat penyakit ini.

"Bahkan saya pernah mengendalikan kes budak berusia tujuh dan lapan tahun," katanya.

Bagi merawat penyakit yang lebih banyak dilaporkan terjadi di Asia ini, rawatan intensif akan diberikan kepada pesakit bagi mengelak ia daripada berulang.

"Pesakit Devic boleh dikelaskan kepada beberapa kumpulan, antaranya klasik dan berulang. Bagi kelas klasik, pesakit akan mengalami serangan buta dan lumpuh dalam masa yang sama ataupun selang beberapa hari.

"Imbasan MRI terhadap pesakit tidak menemukan sebarang tanda ganjil pada otak tetapi pada saraf mata dan tulang belakang.

"Pesakit Devic daripada kumpulan ini berdepan serangan Devic sekali sahaja dan tiada potensi penyakit berulang.

"Sebaliknya, jika pesakit itu hanya mengalami simpton ringan dan tidak melibatkan kedua-dua saraf, potensi untuk penyakit itu berulang dalam jarak tiga atau empat tahun sangat besar.

"Malah 70 peratus daripada kes Devic kini dilaporkan adalah jenis yang berulang," jelasnya.

Merujuk kepada kes Nicola, Zainal mengatakan ratu itu tergolong dalam kumpulan berulang dan tidak menolak serangan pernah berlaku sebelum ini.

"Menurut laporan akhbar, Nicola pernah mengalami buta sementara pada mata kiri sebelum dia mampu melihat dan kini buta semula.

"Namun, jika kerap berulang, penyakit ini akan merosakkan saraf yang membawa kepada buta kekal walaupun pesakit masih dalam rawatan dan mengambil ubat khas.

"Kes Devic berulang pula lebih banyak melibatkan golongan dewasa berbanding kanak-kanak," ujarnya.

Tuesday, December 29, 2009

Tun Mahathir persoal keputusan ganti jet MiG-29

Walaupun dah 4 tahun aku tarik handbrake dari jadi anggota TUDM.. tapi awat tak tau semenjak dua tiga menjak nie berita pasai TUDM menjadi pemanas telinga aku pulak.. Aku tak reti nak ulas panjang bab2 keselamatan negara nie,,. Tapi yang aku dok pikiaqnya.. Lebih tak SELaMAT Negara nie, kalau soal "DUIT & MASYUUKKKK " di Halaikan dengan COP KESELAMaTAN NEGARA.. Ca tanya geng kita hat dok gherja lagi ngan TUDM ,(Jas bukan nama sebenaq) kot2 dia buleh ulas panjang..

Sebelum baca artikel dibawah nie hangpa boleh cx tengok berita masyuk yg lain kat sini
atau di sini
atau pasai SUKhoi kat Sini dan Sini dan Boleh jugak korek balik cerita pasai Dato Seri Adib Adam bekas menteri pertahanan @bekas ketua menteri melaka yang bergelumang dengan Skyhawk lebih dari RM1 Billon serta Amin Shah Omar Shah sepatutnya membekal 27 kapal peronda bernilai 24 billion ringgit tetapi sehingga pertengahan 2006 hanya 2 buah kapal peronda sahaja yang siap kat Sini.

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan adakah kepentingan orang tengah mempengaruhi keputusan mengisytiharkan jet pejuang MiG-29 Tentera Udara Di-Raja Malaysia tidak dapat digunakan.

"Penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar (berjuta-juta) kepada orang tengah.

"Apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan kondem MiG-29 untuk beli yang baru?" beliau mempertikaikan.

Beliau juga mempersoalkan, dalam keadaan ekonomi negara sekarang, mampukah ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk pesawat ganti?

"Jika kita beli ganti lagi ratusan juta diperlukan," katanya

Dr Mahathir percaya, ada cara untuk membaikpulih pesawat pejuang dan pesawat lain.

"Tak bolehkah kita baikpulih MiG-29 ini? Kalau kita tak boleh, orang Rusia mungkin boleh. Mungkin India juga boleh.

"Jika pesawat pejuang yang berharga ratusan juta hanya tahan 20 tahun, lebih baik kita tidak ada pesawat pejuang," kata beliau dalam blognya.

Beliau mengingatkan, walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah daripada buatan Amerika, tetapi wang yang banyak terpaksa dibelanja juga ratusan juta ringgit akan hilang jika pesawat yang ada diisytiharkan tidak boleh digunakan lagi.

Beliau membangkitkan, banyak negara-negara lain, termasuk India, menggunakan pesawat ini.

"Apakah mereka juga tidak dapat guna MiG-29 mereka lebih daripada 20 tahun?

"Apakah mereka sudah kondem pesawat MiG mereka seawal ini?"

Beliau juga mengingatkan, walaupun pesawat Amerika kononnya tahan lebih lama, tetapi apabila wang untuk membeli MiG-29 digunakan untuk membeli pesawat F/A-18, "akhirnya kita tahu syarat ketat yang dikenakan oleh Amerika Ayarikat".

"Mereka tidak beri "source code" yang mana ini menghadkan kegunaan F/A-18 untuk pameran sahaja," katanya.

Dr Mahathir berharap, kerajaan membatalkan keputusan untuk mengisytiharkan MiG-29 tidak boleh digunakan dan pesawat sedia ada dibaikpulih.

Wednesday, December 23, 2009

Engine F-5E , Hilang ka halang dengan pengetahuan terancang?



Oleh Abdullah Ngah

mungkin ramai yang percaya bahawa enjin kapal terbang dicuri. Sebenarnya enjin itu tidak dicuri. Jika anda pernah bekerjs sebagai pegawai kanan kerajaan anda sedia maklum dengan apa yang berlaku pada kementerian pertahanan dan kementerian kewangan itu.

Saya pernah jadi pegawai kerajaan dan saya boleh buat permohonan untuk baiki kenderaan dibawah pengelolaaan saya.

Demikian juga dengan pegawai kanan tentera mereka boleh buat permohonan untuk engin kapala terbang yang rosak itu dibaiki diluar Negara dengan lasan yang lojik.

Kalau permohonan itu tidak diluluskan oleh kementerian pertahanan dan kementerian kewangan sudah tentu engin itu tidak boleh dibawa keluar, kerana engin tidak boleh keluar dari dari bengkel bukan macam tayar kereta yang disimpan dalam stor kerajaan.

Jadi apa yang berlaku ianya mendapat kelulusan kementerian pertahanan dan kementerian kewangan.

Jadi jual menjual engin kapal terbang boleh berlaku dengan mudah, kerana sudah dapat lampau hijau dari dua kementerian.

Kalau tidak macam mana hendak bawa engin itu keluar Negara kerana prosedurnya ketat dan perlu belanja yang besar.

Bercakap pasal curi barangan yang dikawal dengan begitu ketat tidak berlaku, kecuali maklumat yang walaupun dikawal ketat akan bocor juga akhir nya sepertimana berlakunya penjualan engin yang dikatakan berharga RM 50 juta itu.Munasabah atau tidak harga itu bukan isunya.

Bocornya kes ini ada kemungkinan wang hasil penjualan tidak dibahagi dengan adil. Atau dengan kata ada pihak yang baham wang itu lebih banyak berbanding diberi kepada yang berusaha keras menjualnya.

Saya hendak beri contoh, bahawa sebuah kereta mewah dan pajero milik kerajaan Terengganu hilang entah kemana.

Inilah yang berlaku. Hilang kereta dan pajero bukan kerana dicuri tetapi dijual oleh pegawai kanan yang berkhidmat di Kuala Lumpur.

Demikian juga dengan engin kapal terbang yang dikatakan dicuri dan dijual. sebenarnya ia bukan dicuri tetapi dijual dengan satu sendikit yang amat licik oleh pegawai kanan dengan restu dua kemenenterian terbabit.

Yang harus bertanggungjawab ialah menteri pertahanan dan menteri kewangan. Siapa menteri kewangan ketika itu dan siapa pula menteri pertahanan yang meluluskan engin itu dibawa keluar untuk dibaiki diluar negara.

Thursday, December 17, 2009

Maaf, saya tak kahwin dengan Zizie

KUALA LUMPUR, Dis 16 — Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin hari ini menafikan bahawa beliau akan berkahwin dengan pelakon terkenal tanah air, Zizie Ezette.

“Saya tidak cukup kacak untuk beliau,” kata wakil rakyat Barisan Nasional itu ketika dihubungi melalui telefon selepas wakil media gagal menjejakinya di Bangunan Parlimen di sini.

Desas-desus yang mengatakan Bung Moktar, 50, akan berkahwin dengan Zizie, 31, merebak dengan pantas di Parlimen sejak pelakon itu membuat pengakuan dilamar seorang Anggota Parlimen dari Sabah baru-baru ini.

Sebelum itu, Bung Moktar telah berjanji untuk datang ke bangunan Parlimen untuk berjumpa dengan beberapa wakil media yang ingin mendapatkan kepastian mengenai hubungan beliau dan Zizie.

Bagaimanapun, wakil media kemudiannya dimaklumkan melalui SMS bahawa beliau sibuk dan terpaksa menghadiri satu mesyuarat hari ini.

“Sorry, there is no kahwin kahwin kahwin, hahahaha,” katanya dalam satu lagi SMS kepada media.

Ditanya sama ada beliau telah melamar Zizie menerusi SMS, Bung Moktar tidak membalasnya. Selain media, ramai Anggota Parlimen turut tercari-cari Bung Moktar untuk mengesahkan perkara itu.

Rakan karib beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, ketika dihubungi, enggan memberi sebarang komen manakala

Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) pula berkata, perkara itu soal peribadi dan beliau tidak tahu mengenainya.

Bung Moktar telah berkahwin dan mempunyai empat anak. — Bernama

Monday, December 14, 2009

Lima kesilapan kewangan

Hampir semua orang pernah melakukan kesilapan berhubung isu wang. Ketahuilah beberapa kesilapan yang biasa dilakukan oleh kebanyakan ibu bapa ketika mendidik anak tentang kewangan dan cara membetulkannya. Berikut adalah antara kesilapan yang kerap dilakukan ibu bapa.


BERIKAN anak elaun dan ingatkan anak untuk membuat pembayaran bagi
apa-apa yang ingin mereka miliki. - Gambar hiasan

1. Menjadi mesin pengeluar wang versi manusia

Menguruskan segala urusan jual beli anak membuatkan anda kelihatan seperti menjadi mesin pengeluar wang versi manusia. Sepatutnya, berikan anak elaun dan ingatkan mereka untuk membuat pembayaran bagi apa-apa yang ingin mereka miliki. Sama ada untuk membeli buku dari kedai atau mendapatkan barangan permainan kegemaran, anak seharusnya bijak membuat pembayaran sendiri. Tindakan itu boleh mengurangkan mereka daripada merungut sekali gus membolehkan mereka mengasah kemahiran mengira atau matematik. Menerusi cara itu juga, anak-anak boleh belajar daripada kesilapan mereka. Dengan membuat pembayaran sendiri, anak-anak akan lebih menghargai barangan yang diperoleh atau dibeli.

2. Terlepas pandang pengajaran harian

Jangan lepaskan peluang untuk berbincang dengan anak tentang isu-isu berkenaan ekonomi yang ringkas dalam persekitaran berbeza setiap hari. Sewaktu membeli-belah, ibu bapa boleh menerangkan mengapa tindakan memilih bungkusan produk berkos lebih rendah lebih baik. Terangkan juga mengapa menambah stok barangan dapur ketika musim jualan murah merupakan satu tindakan yang baik. Berikan penjelasan kepada anak bahawa dengan menjimatkan RM10 setiap minggu, jumlah yang dijimat dalam tempoh sebulan boleh mencecah RM40 atau sekitar RM480 setahun.


ANDAINYA terdapat duit kecil, masukkan wang tersebut ke dalam bank dan
tunjukkan kepada anak bagaimana duit itu bertambah. - Gambar hiasan

3. Tidak melibatkan anak dalam matlamat jangka masa panjang

Pengurusan wang yang kukuh melibatkan dua perkara penting. Pertama, membuat perancangan awal dan kedua, membuat pilihan. Jika anda merancang sebuah percutian, beritahu anak tentang isu bajet yang melibatkan kos tiket penerbangan, hiburan dan penginapan. Andainya terdapat duit kecil, masukkan wang tersebut ke dalam bank dan tunjukkan kepada anak bagaimana duit itu bertambah.

4. Terlepas peluang untuk memberi anak motivasi tentang tabiat menabung

Jika ada peluang, tunjukkan kepada anak bagaimana sesuatu pelan kewangan berfungsi dan mengapa sumbangan atau tabungan wang yang sedikit adalah penting dalam jangka masa panjang.

5. Tidak menerangkan bagaimana kad kredit berfungsi

Seorang pelajar firma pinjaman wang, Nellie Mae pernah menganggarkan, purata hutang yang ditanggung oleh seseorang pelajar universiti ialah sekitar RM5,000. Jumlah tersebut berkemungkinan besar berganda apabila mereka tamat pengajian di menara gading. Dari situlah bermulanya satu masalah sebenar. Anak remaja yang gagal memahami atau menguruskan hutang kad kredit seawal usia 18 tahun, lebih cenderung berdepan dengan masalah besar di kemudian hari. Benarkan anak berlatih menggunakan kad pra-bayar atau kad debit terlebih dahulu. Kad-kad seperti itu menawarkan kemudahan bagi menetapkan had tunai mingguan yang terhad. Ibu bapa juga boleh mendapatkan status penggunaan wang itu menerusi e-mel dan menentukan sama ada perlu atau tidak perbincangan lanjutan untuk mendidik anak agar mereka lebih berhemah ketika berbelanja.

Sunday, December 13, 2009

Jika pasangan curang


KENANG kembali saat pertama anda bertemu pasangan dan mengapa dia tertarik kepada anda. - Gambar hiasan


JIKA berlaku sebarang masalah dalam perhubungan seperti kehadiran orang ketiga, kesalahan sering diletakkan di atas bahu pasangan kerana sanggup menduakan anda. Sedangkan, anda sudah memberikan yang terbaik dalam perhubungan.

Ungkapan seperti 'apa salah saya', 'tidak cukupkah selama ini' dan 'apa yang kau mahu lagi,' sering dilontarkan ketika berlaku perbalahan dalam perhubungan suami isteri atau pasangan kekasih.

Namun, sedarkah anda bahawa sebahagian punca berlakunya kecurangan itu datang daripada diri anda sendiri. Kebiasaannya, pasangan pula tidak mampu untuk berterus-terang.

Hakikatnya, apabila timbul masalah seperti pasangan curang, anda tidak perlu memberontak. Sebaliknya, cuba atasi perasaan dan selesaikannya dengan cara terbaik. Tindakan mencaci dan memaki pasangan akan menambahkan lagi kekusutan perhubungan.

Minggu ini, Kosmo! memberikan beberapa tip untuk berhadapan dengan masalah pasangan yang curang.

1-Terima dengan tenang: Apabila mengetahui si dia curang, anda pasti akan berasa sedih dan mungkin melakukan perbuatan di luar kawalan. Sebaiknya, cuba selidik sama ada ia benar-benar berlaku atau hanya anda yang terlebih cemburu.

2-Cuba berbincang: Jika ia benar, cuba ajak pasangan berbincang dan tanya kenapa dia bertindak sedemikian. Jangan pula menjadi terlalu emosi sehingga memaki pasangan. Tarik nafas dalam-dalam apabila anda berasa terlalu marah.

3-Bermuhasabah diri: Anda perlu ingat musibah yang berlaku diturunkan oleh Tuhan. Ia adalah sebagai dugaan kita di muka bumi. Mungkin ia sebagai balasan terhadap sesuatu yang pernah anda lakukan dahulu atau sebagai satu cara Tuhan menguji kita.

4-Dekatkan diri kepada Tuhan: Tidak kira apa jua kepercayaan anda, dekatkan diri dengan Tuhan. Ia mampu memberikan ketenangan yang sejati. Berdoalah supaya musibah yang melanda berakhir seperti yang anda ingini.

5-Cari teman untuk berkongsi masalah: Masalah perlu dikongsi dan jangan dipendam kerana ia hanya memburukkan keadaan. Anda juga akan menjadi lebih muram serta tidak mampu melakukan tugasan harian jika terus menyembunyikan masalah yang sedang dihadapi.

6-Kenali kekurangan diri: Percaya atau tidak, anda merupakan sebahagian daripada punca kecurangan. Mungkin anda seorang yang perengus, kuat membebel, tidak hormat kepada pasangan, tidak suka memasak, pemalas atau pengotor. Kenang kembali saat pertama anda bertemu pasangan dan mengapa dia tertarik kepada anda. Mungkin tarikan itu telah hilang. Cuba lihat pada diri sendiri dan cari apa yang disukai oleh pasangan.

7-Cuba perbaiki diri: Ubah segala kekurangan diri. Jangan terlalu memaksa dan cuba buktikan bahawa anda layak untuk disayangi. Tidak salah anda berubah demi kebahagiaan keluarga.


APABILA timbul masalah seperti pasangan curang, anda tidak perlu memberontak. - Gambar hiasan


8-Tumpukan perhatian terhadap keluarga: Mungkin anda mengabaikan keluarga dan pasangan. Sebab itulah, mereka mencari kebahagiaan di luar. Luangkan masa hujung minggu dengan sebaiknya seperti melakukan aktiviti riadah atau makan malam bersama. Libatkan seluruh keluarga dalam proses tersebut.

9-Lakukan aktiviti: Apabila terlalu runsing, ramai yang memilih untuk menyendiri. Sebaiknya, sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membuatkan anda terlupa seketika masalah yang dihadapi. Bagus juga jika anda dapat meluangkan sedikit masa di pusat kecantikan atau spa untuk menghilangkan tekanan.

10-Dapatkan nasihat pakar: Jika masalah berpanjangan dan penceraian mungkin berlaku, dapatkan nasihat pakar dan ajak pasangan menghadiri sesi kaunseling. Demi kebaikan keluarga, berdamai adalah jalan terbaik untuk dilakukan.

Saturday, December 12, 2009

Hargai isteri anda

Apabila setiap pengorbanan yang dilakukan isteri dihargai oleh suami, pastinya hubungan itu akan menjadi lebih membahagiakan.


APABILA isteri bahagia dengan apa yang dilakukan, maka perasaan mereka akan tenang dan gembira. - Gambar hiasan


MUNGKIN kita biasa mendengar isteri mengungkit setiap benda yang dilakukan untuk memastikan kelancaran rumah tangga. Mengapa isteri mengungkit?

Dalam hal ini, tidak hairan jika sesetengah isteri mengungkit setiap benda yang dilakukan jika suaminya langsung dan buat-buat tidak nampak pengorbanan yang dilakukan isteri.

Lebih malang lagi, isteri sudah banyak berkorban sejak mula bercinta sehingga mendirikan rumah tangga dan memperoleh anak yang banyak, tetapi si suami masih tidak tahu menghargai, sebaliknya asyik menyalahkan isteri dengan menuduh isteri tidak pandai mengurus rumah tangga.

Justeru suami harus tahu di manakah punca dan bagaimana untuk mengelak isteri daripada mengungkit dalam keadaan marah. Berikut beberapa tip untuk menghargai isteri.

1. Isteri bukan pembantu rumah

Ramai suami menganggap bahawa kerja-kerja rumah adalah tanggungjawab isteri 100 peratus. Walhal dalam Islam, tidak ada hukum yang mengatakan bahawa isteri wajib melakukan kerja-kerja rumah.

Cuma, ajaran Islam mengatakan bahawa wanita berkahwin wajib taat kepada suami, menjaga harta dan maruah suami dengan baik dan mereka akan dijamin masuk syurga. Itu sahaja. Atas jaminan itulah ramai wanita tidak berkira dengan kerja-kerja rumah yang mereka lakukan selama ini.

2. Ingat tarikh penting

Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh sesiapa sahaja apatah lagi daripada orang yang disayangi.

Jika suami seorang yang prihatin dan menyayangi isterinya, apalah salahnya jika dia memberikan hadiah kepada isterinya. Hadiah tidak perlu terlalu mahal.

Jika bajet anda tidak mencukupi, sekuntum bunga dan sekeping kad sudah memadai.

Hati isteri akan tersentuh dengan pemberian hadiah dan lebih terharu jika anda sempat menulis sepatah dua kata penghargaan di dalamnya seperti 'terima kasih di atas segala pengorbanan sayang selama ini.'

3. Isteri adalah manusia

Mereka ialah kaum wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila mereka reda dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka perasaan mereka tenang dan gembira.

Namun jika mereka tertekan dengan apa yang berlaku, maka emosi mereka mulai berkecamuk dan sering ingin mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi.

4. Ringankan tugas isteri

Suami perlu turun padang membantu isteri, jika setiap hari isteri anda bertungkus lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah.

Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti lauk pauk, cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan yang anda masak. Tentu dia berasa gembira.

5. Bawa isteri berehat

Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri adalah suatu kebebasan baginya. Apa kata anda terbalikkan situasi itu.

Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat-tempat peranginan. Walaupun ia nampak remeh, tetapi setiap isteri pasti akan menghargai saat-saat manis itu.

6. Ciuman khas

Cuba anda tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi isteri anda ketika dia berehat setelah begitu penat bekerja.

Tahukah anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isteri.

7. Penuhi hajat isteri

Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi oleh suami. Jika isteri berhajatkan sebuah mesin basuh ataupun mesih jahit, pihak suami mungkin terpaksa berfikir dua atau tiga kali sebelum memenuhinya.

Bagaimanapun, jika anda tidak dapat memenuhi hajat isteri dalam masa terdekat, simpanlah hajat itu dan tunaikanlah apabila anda berpeluang kelak.

8. Beri pujian kepada isteri

Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik dan kemas. Pujian itu penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala semangatnya hilang dan luntur.

9. Dengar pendapat isteri

Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat, tidak kira taraf pendidikan atau profesionalisme mereka. Kemudian, berbincanglah tentang hal rumah tangga dan masa depan. - NUR AISHAH MOHD. AMIN

Friday, December 11, 2009

45 minit 'baiki' jantung

rawatan injap jantung tanpa pembedahan terbuka lebih mudah dan cepat sembuh.




BAGI Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, 76, masalah pernafasan yang dialaminya sentiasa membuatkan beliau mudah kepenatan. Namun, pada 26 November lalu, setelah menjalani implantasi injap aorta bagi menggantikan injap yang sempit (stenosis) menerusi teknik kateter Transcatheter Aortic Valve Implantation atau TAVI, kesihatan beliau bertambah baik. Malah kadar pernafasan beliau turut memberangsangkan.

Alternatif dan inovasi terbaru TAVI Medtronic CoreValve di Malaysia dan pertama di Asia itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Robaayah Zambahari, cukup berkesan dalam merawat pesakit jantung yang mengalami kesempitan injap aortik.

Ujarnya, ramai yang tidak sedar mengenai penyakit injap jantung, terutama yang melibatkan kemerosotan stenosis aorta akibat pertambahan usia.


KIRI: COREVALVE akan mengembang secara automatik mengikut suhu badan.

KANAN: KATETER dimasukkan dari pangkal paha pesakit.

BAWAH: STENOSIS aorta punca injap jantung bermasalah.


Biasanya, ia berlaku pada golongan lanjut umur di mana injap jantung menjadi keras dan sempit. Kerosakan injap aortik boleh juga disebabkan oleh demam reumatik dan injap aortik bikuspid kongenital.

Ini menyebabkan injap yang bertindak sebagai pintu dari jantung tidak dapat mengepam darah yang membawa oksigen dan nutrien ke seluruh tubuh dengan sempurna.



"Dengan keadaan fizikal yang lemah dan ditambah pelbagai penyakit lain, golongan ini amat berisiko bagi pembedahan secara terbuka," jelas Robaayah.

Justeru, prosedur yang hanya melibatkan satu insisi kecil pada pangkal paha (trans-femoral) akan dilakukan bagi memasukkan kateter.

Mengembang

Bagi pesakit yang mempunyai masalah kesempitan atau saluran tersebut tersumbat, satu lagi alternatif ialah dengan melakukan prosedur ini melalui saluran darah subklavian yang terdapat di bawah tulang selangka.

Jelas Robaayah, CoreValve tersebut akan ditempatkan di posisi injap aortik yang rosak, berfungsi sebagai injap gantian yang dimasukkan menerusi penggunaan kateter.

Dengan melalui saluran darah hingga sampai ke injap aorta yang rosak secara perlahan-lahan, CoreValve tersebut akan dilepaskan sehingga mencapai saiz yang mencakupi injap asal.

"Alatan tersebut akan mengembang secara automatik mengikut suhu badan. Dalam masa yang sama, CoreValve akan mengembang dan menolak injap yang rosak ke tepi dan menggantikannya dengan injap baru," ujar Robaayah.


ROBAAYAH

Prosedur ini hanya mengambil masa selama 45 minit.

Ketua Jabatan Kardiologi IJN, Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali menjelaskan, tiga pesakit yang telah menjalani prosedur itu setakat ini telah menunjukkan kadar penyembuhan yang amat pantas.

"Beberapa jam selepas pembedahan, pesakit sudah boleh bangun dan bergerak tanpa bantuan. Malah kadar pernafasan ketiga-tiga pesakit itu juga semakin baik," katanya.

Selain itu, prosedur ini juga berjaya mengurangkan risiko selepas pembedahan termasuk penggunaan ubat bius serta jangkitan pada luka pembedahan.

"Walaupun jangka hayat penggunaan alatan ini tidak dapat dipastikan namun sepanjang sembilan tahun digunakan di beberapa institusi perubatan di Amerika Syarikat dan Eropah, ia menunjukkan perkembangan positif tanpa kesan sampingan," jelasnya lagi. - SHANIKA ABDULLATIB

Tuesday, December 1, 2009

LAGI .....ISTIMEWA KENANGAN TINGKATAN 6


Sunyi rasanya blog kita ni,,,, mungkin ramai dah mempunyai altenatif lain untuk berhubung dengan kawan-kawan. Tak per, kali ni aku selitkan sikit gambaq kenangan puteri-puteri SMP. Gambaq ni sapa yang amek pon aku tak ingat sangat, tapi masa ni kita baru dapat keputusan peksa pertengahan tahun.

Gambaq ni campoq 6A1 ngan 6A2. Lokasi kat belakang kelas 6A1. Antara yang masih ingat nama-nama dia, Fizah, Normawan, Saraswathy, Eunice Dalmasio, Suriani, Ratna Saerah dan yang lain tu ,, , tolong recall kan memori aku.. Hihihihihi...

Dengaq cita, si Eunice ni dah peluk Islam dan kawen ngan orang kita. Aminnn.. Mungkin semua orang masih kenai dia. Saraswathy plak , tatau mana pi la ni... Ntah2 dah jadi somebody.....

~ Radio KEDAH FM ~

Listen to Quran